Home » » Apakah peluang hidup untuk parti serpihan PAS baharu?

Apakah peluang hidup untuk parti serpihan PAS baharu?

Oleh Wong Chin Huat 

Parti serpihan PAS mungkin lebih berjaya daripada PAS jika PAS menjadi terlalu dekat dengan Umno
dan hilang tarikannya kepada undi bantahan.

Ahli akademik Dr Mazlee Malik mencadangkan penubuhan sebuah parti Islam demokrat selepas pemilihan PAS baru-baru ini yang mengangkat puak konservatif sahaja.
Sebelum ini, PasMa sudahpun lama menunggu untuk menggantikan PAS sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat (PR).

Akan tetapi, satu pandangan popular ialah parti serpihan PAS tidak akan dapat bertahan lama kerana ahli dan penyokong PAS setia pada partinya. Dua parti serpihan sebelum ini, iaitu Berjasa pimpinan Datuk Mohamad Nasir (bekas menteri besar Kelantan yang dipecat oleh PAS pada 1977) dan Hamim pimpinan Datuk Asri Muda (bekas presiden PAS yang meletak jawatan pada 1982) tidak dapat bertahan lebih daripada satu pilihan raya.

Ada yang menyokong pandangan ini berdasarkan sains politik kerana kononnya sistem pilihan raya kita, First-Past-the-Post (FPTP), menghukum parti yang kecil.

Selepas mengkaji data-data pilihan raya untuk PAS dan parti-parti pembangkang berasaskan Melayu yang lain dari 1955 hingga 2013, saya ingin menawarkan pandangan alternatif parti serpihan baharu PAS mungkin berjaya.

Ini berdasarkan dua hujah: Undi bantahan (protest vote) dan asas kewilayahan.

Undi bantahan

Kejayaan parti pembangkang sering bergantung sama ada ia boleh dapat menarik undi bantahan. Ini lain daripada undi setia kepada sesuatu parti.

Dalam kata lain, apakah pengundi yang marah dengan pemerintah akan mengundi parti ini untuk meluahkan ketidakpuasannya?

PAS sendiri mendapat manfaat sebanyak 2 kali daripada undi bantahan
.
Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1990, ekoran pertempuran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh, PAS menawan Kelantan. Kerusi Parlimen PAS turut bertambah dari 1 kepada 7 sekalipun bilangan kerusi ditandingi jatuh daripada 98 ke 30.

Dalam PRU 1999, kerana gelombang reformasi, PAS menawan Terengganu dan melipatgandakan kerusi Parlimennya daripada 7 kepada 27.

Sebaliknya, parti pembangkang yang menyertai pemerintah pula akan hilang undi bantahan.
Dalam PRU di Britain baru-baru ini, Parti Liberal Demokrat yang menjadi rakan muda Parti Konservatif dalam pemerintah campuran hampir dihapuskan sama sekali. Ramai pengundi “anti-establishment” mengalihkan sokongan mereka kepada United Kingdom Independence Party (Ukip) yang menolak kemasukan orang asing dengan agresifnya.

Ini juga berlaku kepada PAS. Apabila PAS menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1974, sokongan untuk Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) meningkat daripada 1.13% kepada 3.97%. Sungguhpun PSRM masih gagal memenangi satu kerusipun, ini mungkin berubah jika PAS tidak keluar daripada BN pada 1977.

(Lihat Jadual 1).

Ini memberikan penjelasan alternatif mengapa Berjasa dan Hamim gagal. Mereka gagal bukan kerana mereka keluar daripada PAS, sebaliknya kerana mereka berpakat dengan BN sehingga hilang undi bantahan.

Kini, kalau parti baharu dibentuk, di antara PAS pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang inginkan “Unity Government” dengan Umno dan parti baharu yang berazam menyertai PR, pihak mana yang lebih mirip Berjasa dan Hamim serta akan kehausan undi bantahan?

Asas kewilayahan

Secara tepatnya, sistem FPTP sebenarnya menghukum parti yang sokongannya tersebar dan bukan parti yang kecil.

Lihat kembali kepada Jadual 1. Dalam PRU 1955, PAS adalah parti kecil dari segi peratusan undi (4.06%), berbanding dengan parti Negara yang mendapat hampir dua kali banyak undinya (7.88%).
Akan tetapi, kerana sokongan parti Negara tersebar sampai sokongan ini tidak dapat mengangkat seorang pun ahli Parlimen, maka parti itu pun menjadi parti nyamuk dalam PRU 1959, dengan mendapat hanya 2.11% dan terus merosot.

Hukuman yang sama juga turut menimpa parti Semangat 46 (S46) pimpinan Tengku Razaleigh dalam PRU 1990.

Kerana kempen fitnah BN  Razaleigh  menjual Islam kepada orang Katolik Kadazan di Sabah (“bukti”nya semata-mata ialah Razaleigh memakai tengkolok Kadazan yang mempunyai corak seperti salib), maka partinya kalah di semua kerusi Parlimen di luar Kelantan dan Terengganu.
Sungguhpun S46 mendapat sebanyak 15.06% undi di seluruh negara, ia hanya mendapat 4.44% kerusi Parlimen.

Dalam PRU 1995, peratusan undi dan kerusi S46 turut merosot ke 10.19% dan 3.13%, memaksa Razaleigh untuk menutup kedai dan kembali ke Umno pada 1996.

Nasib yang sama hampir menimpa Parti Keadilan Nasional (Parti Keadilan Rakyat, PKR bermula PRU 2004).

Kerana sokongannya tidak tertumpu, parti itu mendapat 2.59% kerusi Parlimen dalam PRU 1999 sekalipun peratusan undi adalah hampir 4 kali tingginya, 11.67%. Dalam PRU 2004, peratusan undi dan kerusi PKR menjunam kepada 8.43% dan 0.46%.

Akan tetapi, parti ini diselamatkan dan muncul menjadi parti terkuat dalam PRU 2008 apabila ia berjaya menawan kawasan-kawasan pilihan raya yang mempunyai demografi campuran.

Jadi, persoalan untuk prospek terus hidup sebuah parti serpihan PAS ialah sama ada ia mempunyai asas kewilayahannya.

Kalau ia mempunyai asas kewilayahannya sendiri, maka ia mungkin dapat berakar dalam PRU14. Jika pencapaian PAS merosot dalam PRU14, malah parti baru ini mungkin menggantikan PAS dalam PRU15 sebagai parti Islamis yang terunggul.

Secara lebih spesifik, kita harus lihat asas kewilayahan PAS yang sedia ada dan tanya apakah parti baru mungkin dapat merampas sebahagiannya?

Saya membahagikan negeri-negeri kepada empat kumpulan: (a) Kelantan dan Terengganu di mana peratusan pengundi Melayu lebih daripada 90%; (b) Perlis, Kedah dan Pahang, negeri-negeri lain di utara dan pantai timur yang mempunyai majoriti Melayu lebih kurang 70%-90%; (c) negeri-negeri Semenanjung yang lain yang lebih majmuk demografi pengundinya, dari Pulau Pinang sampai ke Johor; (d) Sabah dan Sarawak.

Grafik 1 dan 2 menunjukkan bilangan kerusi dan peratusan undi yang dimenangi PAS di 4 wilayah ini dari PRU 1990 ke PRU 2013. Grafik 3 pula menunjukkan purata peratusan undi di peringkat kawasan pilihan raya di wilayah-wilayah ini.

Jelas sekali, PAS adalah sebuah parti Kelantan dan Terengganu dalam PRU-PRU 1990 dan 1995. Kesemua ahli Parlimen PAS datang daripada dua negeri ini yang turut menyumbangkan separuh dan 40% daripada undinya dalam 1990 dan 1995 masing-masing.

 (Grafik 1 dan Grafik 2).

Ketika ini, sekalipun Perlis, Kedah dan Pahang menyumbangkan lebih kurang sepertiga jumlah undi, sokongan purata kepada PAS adalah di bawah 40% dan tidak membawa satu kemenangan pun.

(Grafik 3)

Ini diubah oleh gelombang reformasi dalam PRU 1999. Seramai 10 orang (37%) daripada 27 kerusi dimenangi PAS datang  dari luar Kelantan dan Terengganu.

(Grafik 1)

Sungguhpun cuma 2 orang ahli Parlimen dipilih dari negeri-negeri Semenanjung Pantai Barat ke selatan Kedah, tetapi sumbangan undi wilayah ini  mencapai hampir sepertiga daripada jumlah perolehan PAS. 

(Grafik 1 dan Grafik 2)

Peratusan sokongan purata di peringkat kawasan dari wilayah ini mencapai hampir 40% daripada tak sampai 15% dalam PRU 1995.
  (Grafik 3)

Nyata sekali, isu penganiayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pembentukan Barisan Alternatif (BA) dengan PKN dan DAP membuka ruang untuk PAS keluar daripada asas kekalnya.

Akan tetapi, PAS kembali menjadi parti Pantai Timur dalam PRU 2004 selepas pengkuburan BA dengan keluarnya DAP demi ketidakpuasan dengan orientasi PAS di Terengganu dan sebagainya.

PAS tinggal 6 ahli Parlimen dan cuma seorang bukan dari Kelantan dan Terengganu. Tiada seorang calon yang menang di pantai Barat ke selatan Kedah. (Grafik 1).

Sungguhpun sumbangan undi daripada negeri-negeri campuran terus meningkat dari 32.24% (1999) ke 38.95% (Grafik 2), ini sebenarnya cuma kerana PAS bertanding di lebih banyak kawasan Parlimen, meningkat daripada 63 kerusi (1999) kepada 84 (2004).

Sokongan PAS di wilayah campuran ini menjunam ke bawah 30%.

Keadaan ini sekali lagi diubah dalam PRU 2008 kerana kerjasama PAS dengan PKR dan DAP yang membawa kepada penubuhan Pakatan Rakyat (PR).

Kali pertama, PAS mempunyai lebih ramai ahli Parlimen dari luar Kelantan dan Terengganu, iaitu 13 daripada 23 atau 57%. (Grafik 1)

Negeri-negeri Semenanjung campuran (pantai barat ke selatan Kedah) menjadi semakin penting dalam demografi pilihan raya PAS.

Wilayah ini bukan sahaja terus menyumbangkan hampir 40% daripada jumlah undi perolehan PAS (Grafik 2), malah peratusan sokongan purata di peringkat kawasan hampir mencecah 40%, iaitu kembali kepada tahap 1999 (Grafik 3).

Sungguhpun bilangan ahli Parlimen jatuh sedikit (Grafik 1), tetapi wilayah ini menjadi “pusat pertumbuhan” (growth centre) untuk undi PAS pada PRU 2013. Peratusan sokongan purata di peringkat kawasan pilihan raya kini melepasi 40% dan hampir mendekati Perlis, Kedah dan Pahang yang turun sedikit. (Grafik 3)

Parti Islamis Pantai Baru?

Apakah yang kita boleh simpulkan daripada data-data ini? Jawapannya ialah selepas gelombang Reformasi dalam PRU 1999 dan tsunami politik 2008, PAS sudah menjadi sebuah parti kebangsaan.

Keputusan pemilihan PAS pada 4 Jun yang menunjukkan kepimpinan yang didominasi oleh pemimpin daripada Kelantan, Terengganu dan Pahang menimbulkan persoalan sama ada PAS masih boleh mengekalkan asas sokongannya.

Apakah peta PAS dalam PRU14 akan mengecut sekali lagi seperti dalam PRU 2004? Kalau pengecutan PRU 2004 itu menyaksikan kejatuhan Terengganu di tangan Umno sekali lagi, jika pengecutan berlaku dalam PRU14, dapatkah PAS mempertahankan Kelantan?

Dengan kemarahan rakyat terhadap Najib dan Umno, parti mana yang dapat tarik undi bantahan, parti mana yang akan berjaya.

Kalau parti serpihan baru – tak kira PasMa atau parti demokratik Islam yang menggunakan nama lain – dapat menawan asas PAS di pantai barat dan menarik undi bantahan, maka tidak mustahil jika parti baru ini muncul kuat dalam PRU14 dan seterusnya menggantikan PAS sebagai parti utama Islamis dalam PRU15.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

Follow by Email

.