Home » » Jangan Sampai PAS ditertawakan

Jangan Sampai PAS ditertawakan

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Kini semua orang tahu bahawa keputusan pemilihan dalam muktamar Pas memberi satu petunjuk yang amat jelas -para perwakilan telah bersuara dan mahukan golongan agamawan menerajui pimpanan Pas di peringkat Pusat. Keputusan ketiga tiga Dewan dalam Pas iaitu Dewan Pemuda , Muslimat dan Ulama juga memberi petunjuk yang sama.

Isu sama ada pimpinan Pas yang ada sekarang adalah pemimpin chai disebabkan gaya pemilihan ditentukan oleh pengundian blok ( block voting ) daripada penilaian berasas prestasi, pengalaman dan merit tidak lagi menjadi persoalan. Hakikatnya saf pimpinan Pas yang ada adalah jelas diwakili secara majoritinya golongan ustaz dan agamawan yang mesra Presiden Pas iaitu akan dilihat sentiasa menyokong segala keputusan Presiden Pas tanpa berbelah bahagi.

Hakikat ini diperakui sendiri oleh Ketua Dewan Ulama yang baru iaitu Dato Dr Mahfoz Mohamed dalam temuramah beliau bersama akhbar Mingguan Malaysia Ahad lepas. Antara lain beliau dilapokan berkata "sekarang ni, saya terus terang, golongan profesional dominan, dia kuat dan boleh beri fakta fakta menyebabkan keputusan tidak boleh dibuat.Sebab itulah kadang kadang tok guru terpaksa buat keputusan sendiri.Beliau merujuk kepada Majlis Syura sahaja.Kalau dibawa kepada AJK pusat memang kalah.Kali ini apabila kebanyakan AJK sokong ulama maka memang kerja akan menjadi mudah kerana masing masing tahu dasar dasar Pas. Semua ustaz memahami perkara itu dan memang kesetiaan mereka kepada Presiden akan lebih kukuh"

Jelas daripada kenyataan Dato Dr Mahfoz tersebut bahawa selama ini golongan profesional atau juga digelar sebagai golongan progresif dalam Pas menjadi penghalang utama kepada Presiden Pas dalam membuat satu satu keputusan . Dengan kekalahan golongan progresif dalam Pas ia sekaligus, mengikut logik Ketua Dewan Ulama Pas, akan memudahkan kerja kerja Presiden Pas.

Mungkin kita perlu menyoroti ke belakang sedikit dan melihat senario yang berlaku sebelum proses pemilihan tersebut dilakukan . Kita bukan sahaja melihat keaktifan dan agresifnya kempen golongan ulama dalam Pas sebaliknya kita juga melihat wujudnya dua aliran atau jalur pemikiran dalam Pas.

Satu golongan yang boleh dikatakan mempromosi politik esklusif yang tercerna dalam slogan mempertahan kepimpinan ulama . Ia amat berlawanan dengan politik inklusif yang Pas cuba tonjolkan sebelum ini dengan slogan slogan seperti Pas for Allah, Islam rahmat untuk semua dan lain lain yang mana objektifnya bagi memastikan Pas di bawa ke "centre stage" dalam persada politik Malaysia.

Bertolak daripada slogan kepimpinan ulama itu, ia membawa mesej yang amat jelas dan keras kepada para perwakilan bahawa kompromi dan toleransi Pas dengan rakan Pakatan khususnya Dap telah melepasi tahap yang dibenarkan oleh Islam sekaligus menghilangkan jatidiri Pas sebagai sebuah gerakan Islam.

Politik esklusif itu meletakkan mana mana pihak dalam Pas yang kritikal dengan pendekatan tersebut dilihat sebagai tembok penghalang untuk Pas mempertahankan jatidiri Islamnya.. Maka bukan sahaja pelbagai label diwujudkan bagi melabel tembok penghalang tersebut, malahan di saat akhir kempen pemilihan ahli ahli Pas khususnya para perwakilan diheret ke satu sudut dan diminta membuat satu pilihan daripada dua opsyen berikut - sama ada mereka ingin memilih calon calon yang cenderung kepada Dap atau calon calon yang ingin pertahankan jatidiri Pas ?

Slogan itu juga mempromosi tema berikut iaitu kemenangan dalam pilihanraya bukan segala galanya .Yang penting adalah keredaan Allah . Apa guna Pas melalui Pakatan dapat menawan Putrajaya jika Islam tidak dapat ditegakkan.Ya, Islam yang mereka tonjolkan adalah Islam yang lebih bersifat hukum daripada Islam sebagai rahmatan lil 'alamin ( Islam rahmat untuk semua ).

Islam yang dipromosi itu juga mewujudkan satu persepsi bahawa penafsir tunggal Islam , terutamanya dalam Pas itu sendiri, adalah golongan agamawan sahaja.

Dan terbukti slogan murah itu mudah mempengaruhi ahli ahli Pas dan perwakilan sehingga mereka boleh dikatakan telah hilang kerasionalan dalam berfikir dan bertindak. Natijahnya ialah keputusan muktamar memihak kepada golongan agamawan dan mengenepikan sama sekali tokoh tokoh golongan progresif dalam Pas.

Melihat kepada perbahasan di Muktamar Pas majoriti pembahas boleh dikatakan menghentam Dap dan mahu Pas tetap berpegang kepada prinsip perjuangan. Usul dewan ulama yang mahukan hubungan dengan Dap diputuskan dan dalam masa yang sama terus bersama Pakatan diterima oleh Muktamar tanpa bahas dan penerimaan usul itu sendiri sudah cukup menunjukkan Pas hakikatnya sudah bersedia mengambil risiko demi mempertahankam prinsip dan jatidirinya.

Dengan ketiadaan tokoh tokoh progresif dalam saf kepimpinan Pas kini, sepatutnya kepimpinan baru dalam Pas tidak mempunyai masalah untuk meneruskan visi dan misi mereka. Mereka sewajarnya konsisten berpegang kepada pendekatan keras tersebut dan tidak sama sekali berpusing ke belakang.

Dengan erti kata lain, mereka sewajarnya membawa Pas keluar daripada Pakatan kerana visi dan misi yang mereka perjuangkan tidak selaras dengan misi dan visi Pakatan . Mereka tidak sewajarnya berdolak dalik lagi dengan menyatakan kami bersama Pakatan tapi tidak bersama Dap sedangkan tanpa Dap hakikatnya tidak wujud lagi Pakatan. 

Kepimpinan baru Pas tidak sewajarnya mempedulikan kehilangan kepentingan Pas di negeri yang Pakatan perintah khususnya di Selangor demi mempertahankan prinsip perjuangan dan mendapat keredaan Allah. Jika mereka sebaliknya terus ingin menjaga kepentingan Pas di Selangor dan dalam masa yang sama cuba mempertahankan prinsip perjuangan dan reda Allah ianya menampakkan mereka tidak ikhlas dan tidak konsisten .Dengan lain perkataan mereka mungkin akan dituduh hipokrit .

Kalau mereka tidak berani bertegas dengan pendirian keras mereka seperti yang dijelmakan di pra muktamar dan masih mahu terus ingin bersama Pakatan ( tanpa Dap ) mereka pasti akan ditertawakan dan mereka juga mungkin sukar melarikan diri dari tuduhan bahawa segala apa yang dicakap dan dibuat sebelun muktamar hanya semata mata untuk menang dalam muktamar !

Maka satu satunya jalan bagi mempertahankan jatidiri Pas , kepimpinan baru sewajarnya berani, tegas dan konsisten mempertahankan prinsip perjuangan dan satu satunya jalan bagi merealisasikan hal tersebut ialah dengan Pas keluar daripada Pakatan secara hormat .

Jika Pas masih ragu ragu dan takut kehilangan kepentingan di Selangor berbanding mempertahankan keredaan Allah , segala gala apa yang dikatakan sebelum muktamar akan dilihat gimik semata mata dan ini pasti akan melukakan Pas itu sendiri.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.