Home » » Majlis Syura Pas sering ketepi idea progresif majukan parti

Majlis Syura Pas sering ketepi idea progresif majukan parti

Oleh Zikri Kamarulzaman

Pengaruh majlis syura PAS yang semakin meningkat terhadap perkara-perkara dasar, telah mencetuskan tuntutan terhadap sebuah parti Islam yang baru, demikian menurut beberapa bekas pemimpin parti itu.

Bekas ahli jawatankuasa pusat PAS, Hanipa Maidin berkata majlis itu - eksklusif untuk golongan ulama parti itu - sering mengetepikan idea-idea yang progresif yang bertujuan untuk membawa parti ke hadapan dan menjadi lebih inklusif.

"Kami tak pernah menyangka yang majlis syura menjadi sekuat sekarang. Kami melihatnya sebagai badan penapisan bagi dasar-dasar baru untuk memastikan ianya Islamik," katanya.

Bagaimanapun, tegasnya, majlis syura kini telah menceroboh ke dalam domain eksekutif, dan menyukarkan PAS untuk bergerak ke hadapan.

Hanipa, yang pernah mengetuai biro undang-undang PAS, berkata majlis syura cenderung untuk melihat secara 'hitam dan putih".

Dalam politik, tegasnya, tiada penetapan 'halal' atau 'haram' dan "terdapat banyak kawasan kelabu di mana kita mesti begitu (berhati-hati) untuk mengatakan ini (atau itu) adalah tidak Islamik."

Sebaliknya, kata beliau, perlu ada pendekatan yang kreatif dan fleksibel dalam politik, dan menurut Hanipa, kepimpinan parti itu sekarang tidak terbuka terhadapnya.

"Sebab itu idea ini untuk sebuah parti baru adalah tuntutan popular dari akar umbi. Kita perlu fikir mengenainya dan jika boleh, kita menjadikan idea itu satu kenyataan.

"Ia bukan kita tidak suka PAS [...]  tapi kita perlu menghadapinya, saya tak fikir kita boleh perbetulkan PAS buat masa ini," katanya sambil menambah bahawa parti itu sekarang, tidak lagi menjadi tarikan kepada bukan Islam dan profesional Islam.

Politik majmuk

Ahli Parlimen Sepang itu dan beberapa tokoh progresif parti itu kecundang dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS dalam muktamar tahun ini.

Mereka telah bergabung sebagai sebuah badan bertindak, dikenali sebagai G18, untuk memulakan gerakan baru Islam yang inklusif.

MP Shah Alam Khalid Samad secara terbuka telah menyatakan bahawa kumpulan itu akan menubuhkan sebuah parti baru dan lebih inklusif bagi memenuhi objektif bekas Presiden PAS Fadzil Noor.

Ditanya sama ada parti baru akan menghalang senario yang sama sepertimana PAS begitu dipengaruhi oleh majlis syura, seorang lagi bekas ahli jawatankuasa pusat,  Dzulkefly Ahmad positif mengenainya.

"Kita perlu menangani semua masalah yang kita hadapi dalam parti kita," katanya kepada Malaysiakini.

"Kami mahu bergerak ke hadapan [...] menghidupkan semula pemikiran Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Allahyarham Fadzil Noor. Bagi Islam sederhana yang inklusif, yang mampu untuk menangani politik majmuk dalam demografi majmuk Malaysia," katanya .

Sentimen ini turut dikongsi oleh Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Mujahid Yusof Rawa yang juga menekankan keperluan untuk mengembalikan kuasa dari majlis syura kepada perwakilan parti.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

Follow by Email

.