Home » » PAS Kedah akan keluar parti beramai-ramai ?

PAS Kedah akan keluar parti beramai-ramai ?

Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) mendakwa ahli PAS Kedah akan meninggalkan parti
Islam itu secara beramai-ramai dalam masa terdekat dan akan memberi sokongan kepada badan bukan kerajaan (NGO) pro Pakatan Rakyat (PR) itu.

Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, ahli PAS yang keluar parti akan memberi sokongan kepada PasMa dan ia dapat direalisasikan tidak lama lagi.

“Nanti akan ada majlis keluar parti PAS beramai-ramai dan saya akan maklum kepada pihak media,” katanya kepada akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.


Phahrolrazi berkata, ahli PAS berhak meninggalkan parti Islam itu dan menyertai PasMa dalam usaha membentuk sebuah parti baharu yang cenderung kepada pakatan pembangkang.  “Kita sebuah negara demokrasi dan penubuhan sebuah parti baharu yang menyokong perjuangan pakatan pembangkang juga merupakan satu alternatif kepada rakyat.

“Kita tidak boleh tuduh penubuhan parti politik baharu ini membuatkan rakyat berpecah belah kerana ia merupakan satu proses dalam negara demokrasi,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kundor itu berkata, ahli PAS kini terbuka untuk menyertai PasMa memandangkan selepas muktamar, parti Islam itu diwakili pemimpin yang bercirikan autokratik.

“Kita lihat selepas Muktamar Tahunan ke-61 baru-baru ini, PAS dikuasai pimpinan ulama yang pimpinannya bercorak autokratik.

“Sekarang terpulang kepada ahli sama ada mereka mahu kekal bersama PAS atau menyertai sebuah parti baharu dan bersedia untuk bersama-sama pakatan pembangkang,” katanya kepada akhbar itu.
Sementara itu, Dewan Ulama PAS berkeyakinan parti Islam itu akan tetap berdiri kukuh walaupun terdapat kemungkinan segelintir ahli yang berhijrah ke parti baharu anjuran PasMa.

Ketua penerangannya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dilaporkan berkata penubuhan parti baharu yang akan digerakkan PasMa selepas Hari Raya Aidilfitri ini, tidak akan menggugat langsung kedudukan PAS.

“Saya tak risau (penghijrahan ahli PAS). Dalam perjuangan Islam, kita yakin seorang keluar, berpuluh lagi datang kepada kita.

“Allah akan hantar satu puak lain yang mereka sayangkan Allah, dan Allah sayangkan mereka. Itu biasa dalam perjuangan,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Khairuddin berkata, sejarah menunjukkan PAS tidak pernah terjejas dengan kemunculan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) yang merupakan serpihan daripada parti itu pada 1977.
- themalaysianinsider.com

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

Follow by Email

.