Home » » Dua ujian besar buat pimpinan baru Pas

Dua ujian besar buat pimpinan baru Pas

Oleh Mohd Sayuti Omar

Baru seminggu pimpinan baru Pas yang terdiri daripada golongan yang menganggap mereka sebagai ahli agama, (ad Din) yang cuba dipamerkan berada di birai syurga diberi amanah memikul tanggungjawab memimpin parti, kini sudah berhadapan dengan ujian pertama yang boleh dianggap getir. Ujian ini terlalu pantas menimpa barisan kepimpinan baru Pas ini.
Sesuai dengan ujian ini datang bagaikan kilat, sekiranya barisan kepimpinan baru ini dapat mengatasinya ia akan dihormat, dan sepuluh kali tabik harus diberikan kepada mereka. Semua orang kena berterima kasih dan berbangga atas kejayaannya nanti. 
Kenapa dikatakan begitu, kerana ujian atau masalah yang berlonggok dalam Pas kini adalah besar, yang akan menentukan nasib dan masa depan Pas. Ujian atau masalah ini timbul ekoran daripada pemilihan kepimpinan yang dibuat secara kumpulan atau pun mengikut mazhab.

Dari beberapa ujian itu ada dua ujian besar Pas waktu ini, pertama ialah mengenai pepercahan dalam kalangan ahli Pas gara-gara perebutan jawatan tempoh hari. Puak yang mendokong golongan Prolib kecewa dengan apa yang berlaku dalam pemilihan itu. Kekecewaan itu menyebabkan mereka kehilangan semangat untuk menggerakkan aktiviti parti dan menjadi lemah semangat untuk berjuang.  
Paling menyedihkan sudah ada yang terlebih emosi mengambil tindakan sendiri dengan mengistyharkan diri keluar daripada Pas. Ada pula yang menolak tawaran perlantikan dalam hirearki Pas, manakala yang lain mengambil sikap bertawakus ingin melihat keadaan. Tidak kurang juga mendesak agar ditubuhkan parti baru sebagai mengganti wadah Pas.
Sepatutnya kepimpinan harus tahu bagaimana untuk membendung perkara ini daripada terus berlaku. Usaha untuk merapatkan saf dan menenangkan hati mereka yang terguris dan sakit diperlukan. Tetapi malangnya usaha ke arah itu tidak nampak, dan puak yang menanng pula menunjukkan "mangak" dengan kemenangan. Paling malang dan sedih lagi ada yang membuat perkiraan mereka, yang kalah tidak diperlukan dan kehadiran mereka menyusahkan sahaja.
Dalam hal ini Pas perlu ada seorang pakar untuk menyusun dan mengemaskan balik Pas. Kalau permilihan dalam Pas itu kekalutannya boleh dianggap sebagai bahtera yang dilanda ombak, menyebabkan perkakas dalam bahtera itu berselerakan dan bertaburan. Di sinilah seorang pakar, tatahiasa atau pemimpin penyatu perlu ada untuk bertindak mengemas dan menyusun parti. Tanpa memiliki seorang pakar menyebabkan barangan itu akan berselerakan. 
Ternyata kenyataan-kenyataan ke arah untuk menyusun dan memantapkan parti kembali ini belum kedengaran. Apa yang ada kenyataan yang lebih kepada menyinis dan seolah-olah mengambil mudah atas apa yang berlaku. Misalnya ada pemimpin yang berkata tindakan keluar parti sebagai biasa sahaja dan tidak dilihat satu fenomena melemahkan parti. Kenyataan itu menjelaskan pemimpin berkenaan langsung tidak berasa bimbang dan berasa rugi dengan apa yang berlaku. 
Mungkin pemimpin itu boleh berkata demikian kerana di negeri dibawah pimpinannya tidak akan terjejas dengan tindakan terpencil ahli itu. Tetapi kalau dia seorang pemimpin yang berjiwa besar dan berpandangan jauh serta mengambil peduli kepada masa depan Pas keseluruhannya, seberang masalah tidak sewajarnya dia memberi reaksi begitu. Apa yang dia patut lakukan meminta ahli agar bersabar dan bertenang serta memperkemaskan ikatan persaudaraan.
Pepimpinan baru Pas perlu memberi tempoh masa untuk memulihkan keadaan ini. Keretakan kerana perlawanan tempoh hari harus dirawat dengan sebaik mungkin. Pemimpin Pas perlu mencari dan mengambil apa sahaja penawar untuk menyembuhkan luka berkenaan. Ubat atau kain membalut dan memedakmkan luka perlu dicari segera bukannya membiarkan ia diharungi lalat dan terdedah.
Cara Presiden Pas, Abdul Hadi Awang membuat perlantikan pegawai eksekutif parti yang tidak mengambil kira pengorbanan bekas-bekas pimpinan yang tewas, menampakkan yang sikap tidak peduli dan manggaknya terbit dari pucuk pimpinan sendiri. Tanpa melantik mereka (walaupun mereka bukan ingikan jawatan), menyerlahkan Presiden yang digolong sebagai ad Din tidak mahu melihat golongan Prolib berada bersama mereka lagi. Kurang prihatin presiden itu menjelaskan yang presiden itu babil dan meta dengan kemenangan besarnya.
Dalam politik yang mengambil kita number, tindakan itu tidak bijak dan telah menunjukkan Pas dibawah pimpinan baru ini benar-benar mahu mencai keredhaaan Allah dan tidak mempedulikan kepada jumlah yang boleh membawa mereka menang dalam pilihan raya. Sikap ini menampakkan Pas telah surut ke belakang semula ke zaman jahiliah politik seperti tahun 1950an dan 1960an.

Masalah dan ujian kedua
Ujian atau masalah kedua yang perlu atau sedang dihadapi oleh pimpinan baru Pas ini ialah rakan mereka dalam Pakatan Rakyat, DAP yang membuat ulah atau perangai. Keadaan hubungan Pas dengan DAP kini sangat genting sekali. Semua ia bermula apabila Dewan Ulama mengemukakan usul agar memutuskan hubungan dengan DAP.
Sekiranya Pas berasakan parti itu berdosa dan pintu syurga tertutup sekiranya berkawan dan bertahalul syiasi dengan DAP, adalah elok kalau parti itu berbuat demikian. Sesiapa pun tidak mahu menyempitkan pintu syurga. Bagai mana pun yang menjadi masalah, tindakan itu semacam dibuat tanpa berfikir panjang dan Pas kini seakan sudah menyesali apa yang berlaku. Usul berkenaan seperti mencincang air yang tidak akan putus dan meletakkan Pas kini dalam keadaan serba salah dan dicemuhi ramai.

Jika perkara ini tidak dituntasi dengan baik tidak mustahil Pas akan berpisah dengan DAP dan PKR dan berada di luar Pakatan Rakyat. Saat ini nanti sekiranya Umno yang diharapkan akan meminangnya tidak berbuat begitu ibarat kata Pas akan mati beragam. Pas akan kempunan dan menyesal tidak sudah laksana tunang yang dicerai sebelum akad nikah.
Di sinilah yang saya sebutkan sebelum ini, kesan daripada tindakan tidak bijaksana Dewan Ulama (golongan ad Din) yang membawa usul berkenaan. Siapakah yang bertanggungjawab atau memberi idea agar usul putuskan hubungan dengan DAP itu dilakukan? Apakah ia konsensus daripada Dewan Ulama, atau Dewan itu membawa harapan dan idea seseorang yang berada di atas kekuasaan?
Sekiranya Dewan Ulama mengambil keputusan secara "berjemak", pasti usul itu tidak menjadi masalah. Kedudukan hubungan Pas dengan DAP tidak setegang hari ini. Namun disebabkan usul itu tidak dibuat dengan penuh cermat dan berhemah, sebaliknya ia lebih kepada secara ad hoc, maka natijah dan impaknya mulai terasa kini.
Pas perlu membuat ketegasan segera mengenai perkara ini dan tidak perlu berdolak dalik. Sikap tegas dan tuntas perlu diambil segera. Cadangan Pas Bukit Katil, Melaka agar jangan membiarkan ahli resah dengan pendirian Pas dengan DAP adalah suatu cadangan yang baik dan perlu beri perhatian segera. Pas kena selesaikan sepantas mungkin msalah ini.
Majlis Syura ulama hendaklah berpendirian tegas. Musyidul Am Pas, Haron Din perlu meniru sikap dan pendirian bekas Musyidul Am sebelum ini (Allahyarham Nik Abdul Aziz) yang berwibawa dan dihormati semua pihak. Apabila belau dilaporkan sebagai mengatakan beliau kini tidak lagi sebagai Mursyudul Am, (selepas habisnya tempoh perkhidmatan sessi lalu), seolah beliau mahu lari daripada memikul risiko yang terbit dari usul Dewan Ulama itu. Sukar atau tidak pemimpin kena bertanggungjawab dan tidak elok meninggal anak buah terkapai-kapai kelemasan.
Menentu dan menentapkan hubungan dan kedudukan Pas dengan DAP adalah cabaran besar kepimpinan baru Pas ini. Orang sedang meneliti wibawa mereka. Mungkin dalam masa seminggu ini tidak adil untuk melihat mereka menyelesaikan masalah itu. Makanya masa harus diberikan dan begitu pun kepimpinan jangan mengambil masa terlalu panjang untuk menyelesaikannya.
Lagi lama masa diambil untuk menjawab dan menyelesaikan mengenai hal ini, hubungan dengan DAP, ia akan menghimpun lagi banyak masalah. Ia seperti sampah yang dihimpun dalam tong, bila dilonggok begitu banyak dan dibiarkan masam berlama-lamaan, hampak dan hamisnya makin menjadi dan lama kelamaan larva akan mula menetaskan ulat dan menjadi lalat membawa wabak.
Kepimpinan baru yang ada kini terutama Tuan Ibrahim Tuan Man, bersama dengan tiga naib Presiden baru, Idris Ahmad, Mohd Amar Nik Abdullah dan seorang lagi yang dilihat peneraju utama Pas, harus berikhtiar mencari pedekatan dan formula untuk mengatasinya. Tuan Ibrahim tidak boleh menjadikan alasan kemenangan beliau sebagai kemenangan tidak diingini. Beliau harus memikul kemenangan itu sebagai sesuatu yang diburu. Baik buruk presiden menjadi tanggungjawab timbalan presiden, manakala busuk atau harum timbalan presiden dibawah tanggungjawab naib-naib presiden.

Begitu juga dengan alasan, kononnya Pas tidak terjejas dengan penubuhan parti baru bukan satu solusi yang baik kepada Pas dan kepasrahan itu tidak menyerlah seorang pemimpin yang berkarismatik. Pemimpin parti harus mampu dan inteligen membaca peta politik masa depannya, kerana kecepatan membaca itu dapat menghindari masalah berhimpun di halaman parti.
Kegagalan Pas menyelesaikan masalah ini semisalnya sehinggakan tertubuhnya sebuah parti baru, menjelaskan mereka diawal-awal kepimpinan lagi sudah gagal. Sekaligus ia memberi petanda buruk kepada parti yang sudah berusia 61 tahun itu. Pas susut nilai diatas tangan mereka

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.