Home » » ‘Pembersihan etnik’ dalam PAS antara punca Sheikh Omar sertai DAP

‘Pembersihan etnik’ dalam PAS antara punca Sheikh Omar sertai DAP

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


Kecewa dengan sikap sebahagian pemimpin PAS yang lebih gemar menjadikan parti Islam itu "eksklusif" dan berterusan dengan polemik lama yang sering dikitar semula, serta "pembersihan etnik" pada pemilihan parti awal bulan ini, Sheikh Omar Ali mengambil pendirian keluar parti dan menyertai DAP.

Bekas penuntut jurusan Usuluddin di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya itu berpendapat, keputusan pemilihan PAS yang menyaksikan kelebihan dimiliki kumpulan konservatif dari kalangan pro ulama juga menyaksikan parti itu semakin ketinggalan 30 tahun ke belakang.

Keadaan ini berbanding DAP, yang pada pandangan bekas ahli PAS berusia 30 tahun ini, nampak lebih serius dalam memperjuangkan isu yang membabitkan rakyat.


"Agak lama saya berada dalam PAS, namun sikap sesetengah pimpinan parti Islam tersebut yang terus-menerus mengulangi polemik serta titik bengik konflik dalamannya yang terlalu panjang, menyebabkan PAS menjadi begitu ekslusif dan seolah-olah tidak mahu bergerak ke hadapan mendepani isu rakyat.

"Bukan tidak ada figura progresif, namun pasca muktamar lalu seolah-olah menyaksikan satu proses 'ethnic cleansing' yang akhirnya akan membawa semula PAS 30 tahun ke belakang," katanya dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insider, merujuk Muktamar Tahunan ke-61 yang diadakan di Kuala Selangor itu.

Bekas penuntut sekolah menengah kebangsaan agama di selatan tanah air itu juga yakin, DAP bukan sebuah parti yang berteraskan jalur perkauman seperti dibangkitkan beberapa pihak yang mendakwa DAP merupakan parti cauvinis.

Sebaliknya, Sheikh Omar berkata, beliau melihat semangat perjuangan demokrasi yang dibawa DAP juga selari dengan semangat yang dianjurkan Islam.

"Saya tidak khuatir dengan 'backfire' yang mungkin diterima dek kerana seorang anak muda Melayu, berlatar belakangkan pengajian agama, menyertai DAP – sebuah parti yang berteraskan semangat demokrasi, yang hakikatnya tiada percanggahan dengan semangat Islam.

"Asalkan sahaja dasarnya tidak berubah, DAP adalah untuk semua rakyat yang bercita-cita melihat perubahan iklim politik kepada yang lebih sihat dan demokratik, tanpa mengira warna kulit," katanya.
Hubungan DAP dan PAS kini semakin keruh, lebih-lebih lagi apabila Muktamar Dewan Ulama mengusulkan supaya parti itu memutuskan hubungan dengan parti sekular itu dan usul berkenaan diluluskan tanpa bahas di muktamar penuh.

Susulan daripada perkembangan itu, DAP kemudiannya mengambil pendirian dan mengumumkan tamatnya riwayat gabungan pembangkang Pakatan Rakyat (PR).

Ia kemudiannya menyebabkan sekumpulan ahli Parlimen dan bekas pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan, terutamanya mereka daripada kumpulan progresif, menubuhkan G18, juga dikenali sebagai 'Gerakan Harapan Baru'.

Ia sekali gus mencetuskan ura-ura akan wujudnya parti baharu yang akan menjadi alternatif kepada PAS dalam PR.

"Saya memilih DAP kerana saya melihat ada ruang untuk saya mainkan peranan ke arah perubahan
di Malaysia," kata Sheikh Omar ketika diajukan pertanyaan sama ada akan menyertai parti baharu itu sekiranya ia ditubuhkan.

"Sekiranya terbentuk parti baharu oleh golongan profesional PAS, saya harap ia benar-benar dapat menjadi elemen penguat ke arah menyatukan barisan pembangkang, termasuklah DAP dan PKR, dalam satu pakatan untuk menumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN)."

Sheikh Omar turut berkata, meskipun berlatarbelakangkan pendidikan agama, 'penjenamaan Islam' dalam DAP bukan isu pokok yang menjadi matlamatnya menyertai DAP.

"Bagi saya, Islam adalah pada intipati, ruh, semangat, penghayatan dan diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan sistem serta nilai kehidupan.

"Natijah akhirnya ialah kesejahteraan kepada rakyat dalam bernegara. 'Baldatun toyyibatun, wa robbun ghafur' – negara yang baik sejahtera dan Tuhan maha pengampun," katanya.

Sayap Islamis, atau apa sahaja 'penjenamaan Islam' dalam parti demokratik itu, katanya, bukan isunya.

"Komitmen DAP untuk melawan rasuah, pengagihan kekayaan negara yang berat sebelah, ketirisan, perkauman sempit dan sebagainya adalah intipatinya, walaupun tanpa 'sayap Islamis' atau 'Dewan Ulama'," katanya.

Bekas exco pemuda PAS Johor itu menyertai DAP secara rasmi minggu lepas apabila menyerahkan borang keahlian kepada Penasihat DAP, yang juga ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang pada satu majlis berbuka puasa di Kluang.

Sheikh Omar turut berkata, selain ibu bapa, isterinya turut menyokong tindakannya itu.
"Keluarga saya tiada masalah dengan keputusan ini. Lebih-lebih lagi ibu dan bapa saya. Merekalah sumber kekuatan bagi diri saya untuk berpencak di lapangan politik.

"Rakan-rakan umumnya, serta kenalan dalam PAS, memberikan pandangan yang berbeza-beza.

Namun semuanya saya anggap sebagai motivasi, dorongan serta nasihat tanda 'peduli' mereka dalam mengikuti perkembangan karier politik saya," katanya, yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Putrajaya.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

Follow by Email

.