Home » » Sisi Islam yang ditinggalkan PAS

Sisi Islam yang ditinggalkan PAS

Oleh Syahir Nujaba’

P
PAS selaku gerakan Islam paling lama dalam arena politik di Malaysia beberapa kali muncul dengan slogan-slogan yang berbeza. PAS suatu masa dahulu, ketika era keterbukaan, pernah menggunakan slogan ‘PAS for All’ bagi menarik perhatian bukan sahaja non-muslim, tetapi juga muslim yang tidak pro-Islam untuk bersama-sama mendokong PAS sebagai sebuah parti yang holistik.

Slogan ini mencapai kemucaknya apabila Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang dianggotai non-muslim diluluskan untuk menjadi sebahagian daripada anggota sah dalam struktur organisasi PAS.Bukan itu sahaja, artis-artis juga mula mendekati PAS. Ini sekaligus melonjakkan nama PAS ke aras yang lebih tinggi.

Terbaru, PAS sekali lagi tampil dengan slogan baru bersempena Muktamar PAS 2015. Kali ini, slogan yang digunakan adalah “Istiqamah Hingga Kemenangan”. Slogan kali ini sangat signifikan dengan tempoh perjuangan PAS yang begitu lama, hinggakan istiqamah atau kelangsungan amat penting untuk disegarkan supaya jiwa-jiwa pejuang tidak lekas berputus asa hinggalah tergapainya kemenangan.

Pun begitu, terdapat perbezaan besar terhadap ungkapan ‘kemenangan’ dari sudut pandang PAS. Ada sebahagian sangat positif, PAS sedang meniti bait-bait kemenangan kerana mampu bertahan tanpa dibubar hingga ke hari ini. Sedangkan, banyak gerakan Islam lain yang terkubur. Sebahagian yang lain pula melihat PAS masih belum menang, kerana kemenangan sebenar adalah kemenangan menyeluruh dalam pilihan raya, iaitu mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan di peringkat nasional.


Di celah-celah perdebatan dua kelompok ini, terdapat beberapa salah-guna konsep Islam yang dijadikan hujah bagi menyokong kenyataan mereka. Antaranya, mereka mendakwa, “Tidak mengapa jika tidak menang sekalipun, yang penting adalah Allah redha”. Nada yang sama diungkap seperti berikut, “Perjuangan dalam PAS bukan untuk mencapai kemenangan, tapi untuk menggapai redha Allah”. Ada pula yang mengatakan, “Kemenangan itu adalah beroleh pahala kerana kekal dalam Jemaah Islam”
.
Gejala penyalahgunaan konsep-konsep Islam seperti ini, bukan sahaja berlaku dalam PAS, malah juga berlaku dalam masyarakat awam terutamanya dalam konteks memberikan motivasi. Misalnya dalam isu kenaikan harga barang, ia dengan mudah disandarkan sebagai ‘ketentuan Allah’. Ketika rakyat dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi, suara-suara “Jika bersyukur, Allah tambah rezeki” kedengaran. Saat nilai rezeki dipertikai, kedengaran, “Kita mestilah bekerja dengan penuh ikhlas. Niat kerana Allah, bukan habuan dunia”. Apabila kritikan terhadap pemerintah dan pentadbiran dilakukan, suara, “Islam menyeru agar taat kepada ulil amri” pun berkumandang.

Kesemua seruan dan ungkapan ini benar belaka. Namun, apabila ia diletakkan dalam konteks yang salah, akhirnya ia menjadi fitnah kepada agama. Islam akan dilihat sebagai candu atau dadah, yang hanya digunakan bagi mengkhayalkan pihak-pihak yang tertindas.

Dalam keadaan perkataan-perkataan di atas dianggap sebagai Islamik dan bersifat keagamaan, sunnah yang paling besar diamalkan para sahabat Rasulullah ditinggalkan. Sunnah tersebut digelar sebagai sunnah al-‘akhzu bil asbab. Dr. Ali Muhammad as-Solabi dalam merungkai sunnah ini, menulis satu bab khusus di dalam bukunya Sirah Nabawiyyah. Katanya, sunnah al-‘akhzu bil asbab beerti mengambil timbangan sebab-musabab untuk menuju sesuatu hasil. Dalam kata lain, setiap perkara mempunyai sebab dan akibat yang perlu kita pertimbangkan sebelum pasrah menerima sebarang keputusan atau kejadian. Ini sememangnya benar-benar selari dengan dalil berikut:


وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّهَٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ١٠٥
105. Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan. [at-Taubah]

Ayat ini cukup menerangkan bagi kita, nasib kelompok mukmin di akhirat kelak bergantung kepada amal dan usahanya. Bahkan hasil dan keputusan yang Allah berikan kelak akan diterangkan semula sejajar dengan amalan yang dilakukan.


وَهُزِّيٓ إِلَيۡكِ بِجِذۡعِ ٱلنَّخۡلَةِ تُسَٰقِطۡ عَلَيۡكِ رُطَبٗا جَنِيّٗا ٢٥
25. Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. [Maryam]

Ayat ini pula menyentuh perihal bagaimana Allah tetap mengarahkan Maryam ‘alaihassalam menggoncangkan pohon tamar walaupun dalam keadaan lemah mengandungkan Isa ‘alaihissalam. Tuhan tidak mengarahkan dia berdoa atau sekadar pasrah menunggu keajaiban. Tetapi Tuhan mengarahkannya agar berusaha walaupun sedikit, sebagai asbab gugurnya buah tamar.


ذَٰلِكَ بِمَا قَدَّمَتۡ أَيۡدِيكُمۡ وَأَنَّ ٱللَّهَ لَيۡسَ بِظَلَّامٖ لِّلۡعَبِيدِ ١٨٢
182. (Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan perbuatan yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri dan (ingatlah), sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya. [Ali Imran]

Dan terakhir, Allah mengingatkan kita, setiap keburukan atau kekalahan yang kita terima adalah disebabkan kesilapan kita sendiri. Bukan kerana Allah menzalimi hambanya-hambanya. Yang kita risaukan adalah, sehingga kini, kita belum beroleh kemenangan yang total, disebabkan sikap kita yang terlalu naif dalam mengatur strategi politik.

Kata-kata berunsur motivasi dan mempunyai ciri-ciri escapism seperti di atas, tidak wajar dilaungkan dalam konteks yang salah. PAS terutamanya, dalam menggalas harapan dan aspirasi rakyat, perlu melihat lebih jauh dari sekadar mempertahankan ketuanan parti semata-mata. Memang benar, mengabdikan diri dalam sebuah Jemaah Islam adalah sebaik-baik jihad. Namun harapan & perasaan rakyat tidak wajar dihampakan. Kerana, PAS sendiri bukan mendapat undi daripada ahli semata-mata, tapi juga daripada bukan ahli.

Kita tidak bertikai soal istiqamah. Kita boleh istiqamah dalam perlbagai platform walaupun tanpa PAS. Tapi yang kita pertikaikan adalah pandangan PAS terhadap kemenangan. Kita juga berharap agar kepimpinan PAS yang baru akan lebih terbuka untuk menerima kritikan ahli dan bukan ahli. Kita risau, apabila PAS melabel, menyindir bahkan menghalau ahli yang tak sependapat, akhirnya yang tinggal hanya ahli-ahli yang mengkhayalkan, bukan menyedarkan.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive