Oleh Izwan Abdul Halim
Peranan PAS mengharmonikan golongan profesional dan ulama telah lama diusahakan, tetapi
dikotomi serta keberantakan antara dua golongan ini tetap berlaku
disebabkan isu dan faktor ketidaksenjangan akibat dari pengaruh
sekular, demikian diterangkan Pensyarah Univeriti Teknologi Malaysia,
Prof Dr Badlihisham Mohd Nasir.
Katanya, PAS sejak dahulu
memberi laluan keterlibatan bersama kepada ulama dan profesional, di
mana walaupun ulama telah menerajui PAS sejak awal penubuhannya,
tetapi konsep “Kepimpinan Ulama” itu hanya bermula pada tahun 1980-an.
Malah
ujarnya, PAS pernah diterajui oleh doktor semasa transisi peralihan
kepimpinannya, sedangkan asas perjuangannya digerakkan oleh para ulama.
Beliau membentangkan perkara itu pada Kongres Profesional Muslim
Se-Malaysia bertemakan “Islam, Profesionalisma dan Penyelesaian” di
Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya, di sini 18 April lalu.
Menurutnya, proses mengharmoni dan memecahkan dikotomi yang berlaku
pernah diusahakan PAS di mana Dr Burhanuddin al-Helmy mengusulkan
penganjuran Kongres Sufi Se-Malaya untuk menyelesaikan masalah
pemisahan antara ulama zahir dan ulama batin.
“Ulama fekah yang
zahir memperjuangkan syariat dan undang-undang Islam, cuba
diharmonikan dengan ulama tasauf yang dikatakan tidak menyumbang kepada
gerakan kepartaian dan membangunkan masyarakat kerana terlalu
ekslusif.
“Jadi keduanya cuba digabungkan. Dalam konteks
kebangkitan, ulama sebagai teras dan diberi dokongan serta ruang kepada
profesional untuk sama-sama memajukan Islam dalam konteks PAS,” ujarnya
yang juga Presiden Ikatan Ilmuwan Nasional (Ilmuwan)
Prof
Badlihisham turut menyingkap usaha Hizbul Muslimin memberi laluan kepada
ulama tradisional dan golongan moderat berada dalam satu jamaah untuk
memperjuangkan kemerdekaan negara Islam serta menjadikan Islam sebagai
panduan bernegara.
Begitu juga katanya, dengan Masyumi
Indonesia pimpinan Pak Natsir di mana Nahdatul Ulama yang berpendekatan
konservatif tradisional diharmonikan dengan Muhammadiah yang lebih
profesional.
Pengaruh sama ujarnya berlaku dalam konteks Gerakan
Islam, apabila pelbagai kumpulan yang ada, walaupun menerima
pendidikan di Barat, tetapi mereka cenderung hendak dianggap
memperjuangkan Islam, mahukan kewibawaan ulama serta menuntut ilmu-ilmu
Islam.
“Berbeza dengan kumpulan Islam yang tidak menjadikan ulama
sebagai asas fundamental. Mereka ini punyai tafsiran yang agak
liberal, untuk beri laluan profesional sebagai ulama, hingga timbullah
apa yang disebut “protaz” iaitu profesional ustaz.
“Bukanlah
kita memandang ini sebagai suatu yang pesimis, tetapi dalam konteks di
Malaysia, kita belum melihat kelahiran mereka yang dipanggil “protaz”
ini boleh menguasai ilmu ulama.
“Sebab sebagaimana proses
membina ulama, yang bukan sahaja faham Islam dan tuntutan Islam, tetapi
ada pengiktirafan dan amalan mereka diakui oleh masyarakat,” ujarnya
merujuk Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat sebagai indikator
tersebut.
Prof Badlihisham dalam pembentangan tersebut turut
menyatakan bahawa masyarakat sendiri yang memberi pengistilahan
profesional itu kepada bidang dilakukan, selain dari pengertian
mengikut undang-undang.
Di mana katanya, profesional sering
dirujuk kepada kecemerlangan dan kemahiran tinggi, standard, iltizam
kepada organisasi, mewakili badan profesional yang diiktiraf
undang-undang, selain kesetiaan, keterikatan etika dan tahap kerja.
Manakala ulama pula ujarnya, dirujuk mereka yang alim khusus dalam
bidang agama dengan mewarisi kerja buat Nabi iaitu menyampaikan dakwah,
menegakkan akidah, akhlak dan syariat.
Tetapi ulama juga
sebagaimana menurut al-Quran, adalah mereka yang takutkan Allah,
bercakap benar, tidak mengambil upah atas usahanya dan menyeru manusia
kembali kepada Allah.
Tegas beliau, itulah piawaian atau standard ulama di mana berdasar skop itu, ulama juga adalah profesional.
Dikotomi itu ujarnya, adalah disebabkan oleh pengaruh sekular, di mana
dunia berlepas dari tanggung jawab agama dalam situasi penjajahan
telah menyebabkan jurang berlaku dengan mengkhususkan bidang-bidang dan
pekerjaan, serta dikesampingkan agama.
Selain itu katanya,
sikap orang Islam sendiri tidak terbuka menerima ilmu-ilmu baru,
sepertimana pertembungan Kaum Muda dan Kaum Tua.
Prof
Badlihisham memberikan contoh Maahad Ihya’ Syarif yang didominasi ulama
tradisional menolak mata pelajaran baru, sebagaimana juga Universiti
Al-Azhar kokurikulum baru dibawa Syeikh Muhammad Abduh telah ditentang
ulama tradisi Azhar.
“Kombinasi sukar dilakukan, kerana
dikatakan itu antara ilmu dipelopori sarjana Barat. Sebenarnya itu ilmu
Islam yang hilang dan diambil oleh mereka. Sepatutnya Islam ambil dan
diletakkan di atas platform untuk memajukan Islam,” ujarnya menerang
formula pengharmonian itu.
Gojek: Inikah janji 1 juta peluang pekerjaan?
-
*KEBELAKANGAN* ini, timbul isu hangat berkenaan gojek selepas cadangan yang
dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk
memperkenalkannya ...
5 years ago
0 comments:
Post a Comment