Home » » Abdul Hadi akan tersingkir selepas 13 tahun menjadi presiden?

Abdul Hadi akan tersingkir selepas 13 tahun menjadi presiden?

Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkemungkinan akan mengharungi pertandingan tiga penjuru dalam
saingan merebut jawatan Presiden PAS, pertandingan pertama kali sejak beliau memegang jawatan itu pada 2002.
  
Ini sekaligus menjadikan pemilihan pada muktamar PAS ke-61, Jun ini akan bertambah menarik dalam edisinya bukan sahaja kepada anggota PAS bahkan pemerhati politik tanah air memandangkan sebelum ini Abdul Hadi sering diberi laluan mudah untuk menang tanpa bertanding.
  
Meskipun ada yang meramalkan bahawa Anggota Parlimen Marang itu sekali lagi bakal mendapat laluan mudah untuk terus menerajui parti bagi penggal 2015-2017, namun sehingga kini belum pun ada sebarang kenyataan rasmi daripada dua pencabarnya untuk menarik diri daripada pertandingan.
  
Selain Abdul Hadi, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dan bekas Pesuruhjaya Pas Perak Ahmad Awang turut tercalon untuk bertanding jawatan utama parti itu.
  
Tindakan mencalonkan Husam dan Ahmad dilihat oleh penganalisis politik sebagai 'tindak balas' anggota ke atas ketidakpuasan hati mereka kepada pucuk pimpinan yang gagal menangani beberapa isu dengan baik seperti Langkah Kajang dan isu sokongan kepada pertukaran Menteri Besar Selangor yang baharu selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hilang sokongan di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Tarikh 30 April lepas adalah hari terakhir untuk kesemua 191 PAS kawasan mencalonkan nama pemimpin untuk mengisi 27 jawatan di peringkat pusat.
  
Penganalisis politik meramalkan tidak mustahil ramai pemimpin akan berjaya mengekalkan status quo mereka, termasuk Abdul Hadi.

Kekal status qou?
  
Persoalannya, berjayakah Abdul Hadi mengekalkan status quo untuk terus menerajui PAS sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 meskipun mendapat cabaran?
  
Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu, Che Hamdan Che Mohd Razali berkata melihat kepada senario semasa dalaman PAS dan pencalonan, Abdul Hadi tidak mempunyai masalah untuk kekal sebagai presiden.
  
"Cuma sekiranya (masih) wujud pertandingan bagi jawatan presiden, perubahan besar akan berlaku kepada PAS pasca muktamar nanti. Perubahan ini merujuk kepada kewujudan berterusan kumpulan-kumpulan yang tidak berpuas hati dengan corak
kepimpinan Abdul Hadi," katanya kepada Bernama.
  
Beliau tidak menolak kelemahan presiden PAS itu dalam menguruskan pendapat akar umbi sehingga menimbulkan bibit-bibit perpecahan adalah antara sebab mengapa Abdul Hadi dicabar pada pemilihan kali ini.
  
"Itu salah satu sebab. Tetapi, beberapa sebab lain seperti keinginan untuk melihat PAS berubah dari segi pendekatan politik dan tuntutan serta tekanan parti lain dalam Pakatan Rakyat menjadikan desakan untuk beliau digantikan kelihatan semakin terbuka," katanya.

Sejarah kepimpinan dalam PAS membuktikan bahawa 'jangka hayat' seseorang pemimpin memegang jawatan presiden paling lama sekitar 13 tahun dan Abdul Hadi kini memasuki 13 tahun memegang jawatan presiden sejak 2002.
  
Sama ada secara kebetulan atau tidak, selain Abdul Hadi, Dr Burhanuddin Mohd Noor (presiden ketiga), Tan Sri Mohd Asri Muda (presiden keempat) dan Datuk Fadzil Mohd Noor (presiden keenam) juga memegang jawatan itu selama 13 tahun. 

Didesak 'isu panas'
  
Sepanjang 13 tahun memegang jawatan presiden itu juga, Abdul Hadi diuji dan didesak dengan beberapa 'isu panas' seperti penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, hukum hudud, penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) dan kajian semula tahaluf siyasi atau kerjasama politik bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
  
Persoalannya, apakah mungkin Abdul Hadi akan tersingkir selepas 13 tahun menjadi presiden?
  
Che Hamdan berkata dari segi pengiraan kitaran ini adalah sesuatu yang menarik, namun untuk mengaitkan dengan isyarat akar umbi agak sukar kerana ia lebih kepada persaingan kelompok tertentu yang menjadi pimpinan sama ada di  peringkat pusat mahupun negeri.
  
"Selain itu faktor lain seperti wilayah iaitu sokongan dari negeri-negeri pantai barat, negeri-negeri di selatan dan negeri-negeri di pantai timur umpamanya menunjukkan tren yang berbeza.
  
"Begitu juga dari segi kelas-kelas (latar belakang akar umbi) juga wajar diberi perhatian. Golongan kelas menengah umpamanya dilihat agak cenderung untuk melihat pertukaran pucuk pimpinan. Namun, kuasa sepenuhnya terletak kepada perwakilan untuk menentukannya," katanya.

Apa impaknya kepada PAS dan parti pakatan sekiranya Abdul Hadi tewas pada  pemilihan parti?
  
Mengulas persoalan itu, Che Hamdan berkata kekalahan anggota Parlimen Marang itu bakal memberi kesan besar kepada parti dan pakatan pembangkang.

Serah pada perwakilan
  
"Bagi saya, ia harus dilihat dari dua sudut. Pertamanya Abdul Hadi sebagai Presiden PAS, (dalam konteks) individu paling berkuasa dalam PAS dan keduanya, PAS sebagai satu daripada parti pembangkang utama.
  
"Abdul Hadi atas kapasiti peribadi beliau merupakan tokoh ulama yang mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa. Maka, sekiranya beliau kalah, PAS akan mengalami transformasi dari segi kepimpinan ulama yang sekian lama didokong parti ini.
  
"Walaupun salah seorang yang dicalonkan iaitu Ahmad Awang juga merupakan tokoh ulama, namun sokongan golongan yang dikatakan sebagai kumpulan profesional terhadap beliau dan ketegasan beliau dalam mengukuhkan Pakatan Rakyat di Perak akan memberikan corak hala tuju yang berbeza kepada parti," katanya.
  
Beliau berkata dalam konteks PAS sebagai parti politik dalam pakatan pembangkang, ia juga akan merubah lanskap politik sekiranya berlaku perubahan pimpinan.
  
"Sudah semestinya ia menjadi satu cabaran yang besar kepada pemimpin baru dan pemimpin Pakatan Rakyat secara keseluruhan untuk merapatkan kembali perpaduan dalam parti khususnya yang melibatkan penyokong Abdul Hadi.
  
"Tidak mustahil krisis besar akan berlaku sekiranya beliau kalah dalam pemilihan," katanya.
  
Bagaimanapun, semuanya terserah kepada perwakilan untuk memutuskan sama ada Abdul Hadi, Husam atau Ahmad yang lebih layak menerajui kepimpinan parti.
  
-Bernama

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.