Home » » 2 wajah masa depan PAS

2 wajah masa depan PAS

OLEH SHERIDAN MAHAVERA

Minggu ini, PAS akan menjalankan pemilihan presiden buat kali pertama dalam tempoh lebih 25 tahun yang sekali gus akan memberi kesan besar kepada politik negara.

Dari luar, ahli PAS kelihatan seperti akan memilih di antara dua calon ulama daripada keluarga yang sama – Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ahmad Awang.

Namun di sebalik kelayakan mereka, penyandang Hadi dan pencabarnya Ahmad, tidak jauh berbeza dari segi visi mereka untuk masa depan PAS dan bagaimana parti itu perlu menyesuaikan diri dengan masyarakat berbilang agama.

Ahmad setakat ini berikrar memulihkan semula hubungan dengan rakan dalam Pakatan Rakyat (PR), PKR dan DAP, yang semakin buruk di bawah kepimpinan Hadi. Hadi pula dilaporkan berkata, ahli boleh memilih antara pemimpin yang pro-DAP atau tidak – membidas ahli dan pemimpin parti yang mahu menjalinkan hubungan dengan parti sekular dan demokrat sosial itu.

Hadi tidak pernah dicabar selama 12 tahun. Presiden sebelum beliau ialah Datuk Mohamad Fadzil Noor yang memegang jawatan itu dari 1989 hingga 2002.

Hadi tidak bersendirian dalam perjuangan menentang DAP dan PKR.

Hampir 30 jawatan, termasuk bagi timbalan dan naib presiden, akan dipertandingkan dan akan menjadi rebutan pemimpin, termasuk yang sealiran dengan Hadi, seperti Datuk Mohd Amar Abdullah, Mokhtar Senik dan Nasruddin Hassan.

Perasaan marah kepada rakan dalam PR itu timbul selepas DAP menyuarakan bantahan secara terbuka terhadap undang-undang jenayah syariah Kelantan dan PKR berhubung calon bagi menggantikan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tahun lepas.

Secara kolektif, mereka percaya PAS harus terus memperjuangkan agenda Islam, seperti dengan menguatkuasakan hudud, walaupun menghadapi risiko kehilangan sokongan orang bukan Islam dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad, yang juga bekas pesuruhjaya PAS Perak dan penyokong tegar kerjasama dengan PR, muncul sebagai seorang pemimpin yang mahu melihat PAS mengamalkan pendekatan yang sesuai dengan masyarakat berbilang kaum di Malaysia dan menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan rakan PR.

Kumpulan ini termasuk penyandang Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Datuk Husam Musa dan Datuk Mujahid Yusof.

Jika Hadi dan pemimpin yang sealiran pemikirannya meneruskan tampuk kepimpinan parti, ia mungkin akan membawa kepada tiga tahun lagi kecelaruan dasar dan pertelingkahan dalam PR.
Ini sekali gus akan melumpuhkan keupayaan PR untuk bersatu bagi menyediakan satu barisan alternatif menentang Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang dijangka diadakan awal 2018.

Pengambilalihan kuasa kumpulan pro-Hadi juga dilihat akan membawa kepada PAS meninggalkan PR, dan dalam situasi ini, mereka mungkin bertanding menentang bekas rakan dalam PR pada pilihan raya akan datang.

Seperti pandangan penganalisis politik Wan Saiful Wan Jan, pemilihan itu nanti akan menentukan sama ada mereka mahu PAS jadi parti penggerak di peringkat nasional atau parti kecil yang hanya mendapat sokongan di kawasan kampung.

"Sinergi dalam PAS dan PR memberi manfaat secara saksama kepada kedua-duanya dan sebarang perpecahan akan mendatangkan kesan buruk kepada kedua-duanya," kata Wan Saiful dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS). - .themalaysianinsider.com

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Blog Archive

.